JPJ lancar nombor plat EV - Utusan Malaysia

JPJ lancar nombor plat EV

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini melancarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) dengan tanda indeks ‘EV’.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tarikh bidaan melalui Sistem JPJeBid akan bermula pada hari ini dan berakhir pada 13 September pada pukul 10 malam.

Menurutnya, keputusan bagi bidaan tersebut akan diumumkan dalam tempoh 24 jam selepas proses bidaan tamat.

“NPI ‘EV’ ini adalah khas untuk kenderaan tanpa pelepasan gas pencemaran (ZEV) sahaja dan tidak boleh didaftarkan kepada kenderaan bukan ZEV.

“Pemilik kenderaan ZEV yang tidak berminat masih boleh menggunakan mana-mana nombor siri negeri yang biasa untuk didaftarkan kepada kenderaan masing-masing.

“Seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini, sebahagian pendapatan daripada NPI akan disalurkan kepada inisiatif-inisiatif rakyat seperti program penukaran topi keledar secara percuma dan latihan lesen B2 untuk golongan B40,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran JPJePlate di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke berkata, untuk tempoh enam bulan pertama pada tahun ini, jumlah kenderaan elektrik (EV) yang didaftarkan telah melonjak kepada 12,850 kenderaan berbanding hanya 5,131 kenderaan untuk tempoh yang sama pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 150 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata, negara masih mempunyai ruang yang besar untuk pertumbuhan EV.

“Kerajaan dan pihak swasta perlu bekerjasama dengan lebih erat lagi untuk mencipta gelombang peralihan yang bukan sahaja lebih mesra alam tetapi turut akan memacu ekonomi hijau negara.

“Kerajaan telah menawarkan pelbagai dasar dan insentif untuk membantu peralihan kepada kenderaan EV persendirian di samping menggalakan syarikat-syarikat untuk melabur dalam penggantian fleet kenderaan dengan EV,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN