Johor selesai tujuh projek rumah terbengkalai, beri manfaat 2,500 keluarga - Utusan Malaysia

Johor selesai tujuh projek rumah terbengkalai, beri manfaat 2,500 keluarga

MOHD. JAFNI Md. Shukor (tengah) bergambar bersama-sama peserta program Sinergi antara Kerajaan, Universiti, Komuniti dan Industri (GUCI) di Hotel Sunway Big Box, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh projek perumahan terbengkalai,  sekali gus membolehkan 2,500 keluarga memasuki kediaman masing-masing, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pihaknya memperuntukkan RM600 juta bagi melaksanakan projek tersebut.

Selain itu, pihaknya telah siap membina 12,540 unit rumah mampu milik sejak 2022 hingga Ogos lalu, iaitu hampir separuh daripada sasaran 30,000 unit dibina menjelang 2026.

“Kami turut menyambut baik pelaksanaan projek Perumahan Madani dilakukan kerajaan Pusat. Inisiatif perumahan kerajaan negeri dan Pusat bertujuan menyediakan rumah berkualiti kepada golongan sasar, iaitu B40 dan M40.

“Perumahan Madani ini adalah tambahan bagi inisiatif perumahan sedia ada. Di Johor kita ada sebuah jawatankuasa iaitu ‘Planning, Design and Rewiew Comitteee’ (PDRC) yang menggabungkan semua agensi Pusat dan negeri.

“Antara objektifnya untuk mencari kaedah menang-menang buat semua pihak, khususnya rakyat agar dapat memiliki rumah berkualiti pada harga yang berpatutan,” katanya pada program Sinergi antara Kerajaan, Universiti, Komuniti dan Industri (GUCI) di Hotel Sunway Big Box, di sini.

Mohd. Jafni berkata, usaha menyediakan rumah mampu milik kepada masyarakat bukan suatu perkara mudah, namun kerajaan negeri komited menjayakan aspirasi itu bagi memastikan Johor mencapai sasaran menjadi negeri maju pada 2030.

“Kerajaan negeri telah mewajibkan setiap syarikat yang mahu membangunkan hartanah kediaman di negeri ini untuk menyediakan rumah mampu milik, iaitu kira-kira 40 peratus daripada projek mereka. Ada empat kategori rumah mampu milik Johor yang bermula pada harga RM50,000 hingga RM300,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN