JKDM Negeri Sembilan tumpaskan sindiket seludup rokok, minuman keras - Utusan Malaysia

JKDM Negeri Sembilan tumpaskan sindiket seludup rokok, minuman keras

MUHAMMAD Ilyas Queek Abdullah (tengah) menunjukkan minuman keras dan rokok putih yang dirampas hasil serbuan dan pemeriksaan terhadap sebuah lori, kontena dan gudang di Selangor bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok serta minuman keras melibatkan nilai lebih RM4.9 juta hasil tiga serbuan yang dilakukan bulan lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, kejayaan bagi kes pertama dan kedua adalah hasil pemeriksaan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan ke atas sebuah lori tertutup bernombor pendaftaran palsu di dalam sebuah kawasan perumahan dan sebuah kontena di dalam kawasan gudang dengan kedua-duanya di Jenjarom, Selangor.

Kata beliau, pemeriksaan ke atas lori telah menjumpai sejumlah 5,280 tin bir 500 milliliter (ml) manakala pemeriksaan terhadap kontena menemukan pula sebanyak 26,328 tin bir 500 ml dengan kesemuanya tidak mempunyai label cukai dan disyaki sebagai barangan larangan import.

“Kesemua barang kes bersama lori dan kontena disita di bawah Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut. Jumlah nilai keseluruhan sitaan termasuk cukai bagi kedua-dua kes dianggarkan lebih RM600,000.

“Modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran tidak benar ke atas muatan kontena yang diimport bagi mengelak membayar cukai yang terlibat. Sindiket akan menggunakan kenderaan seperti lori untuk tujuan pengedaran dan dijual di pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) dan 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

Menurut Muhammad Ilyas Queek, bagi kes ketiga pula ia melibatkan serbuan dan pemeriksaan di sebuah gudang di kawasan Taman Perindustrian Puchong, Selangor.

“Hasil pemeriksaan rapi telah menemukan sejumlah 287,500 peket rokok putih yang tidak mempunyai label cukai dan disyaki sebagai barangan larangan import.

“Kesemua barangan ekshibit disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut dan jumlah nilai keseluruhan rokok putih yang disita termasuk cukai adalah dianggarkan sebanyak RM4.36 juta,” katanya.

Kata beliau, modus operandi kes berkenaan adalah dengan sindiket menyeludup rokok tersebut dan dipercayai dibawa masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan yang sah.

“Sindiket akan menyimpan di dalam gudang sebelum diedar dan dijual di pasaran tempatan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN