JIMAT bantu warga ATM kurang kos bulanan - Utusan Malaysia

JIMAT bantu warga ATM kurang kos bulanan

AHMAD ZAHID Hamidi mengangkat tanda harga sebagai gimik pelancaran program JIMAT ketika melawat Kem Mahkota, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Program Jualan Istimewa Madani Angkatan Tentera (JIMAT) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertahanan akan diadakan di seluruh kem tentera di negara ini bermula minggu ketiga bulan ini. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, di bawah Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama), program JIMAT dilaksanakan sebagai inisiatif membantu pasukan keselamatan negara itu mendapatkan barang keperluan pada harga lebih rendah.

Katanya, program JIMAT ini akan diadakan pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan yang akan berlangsung sebanyak 12 kali setahun.

“Jualan murah yang menawarkan potongan sebanyak 22 hingga 30 peratus ini akan dilaksanakan di 93 buah kedai PERNAMA di setiap kem tentera di negara ini.

“Sebagai contoh, beras tempatan seberat 10 kilogram yang dijual pada harga RM38.30, namun menerusi program JIMAT, harga makanan asas itu menjadi RM35.20. Mi segera kebiasaannya berharga RM5.25, namun menerusi  JIMAT hanya dijual RM3.50,” katanya dalam semasa mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melawat Kem Mahkota, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Mohamed Khaled memberitahu, pada peringkat awal, sebanyak 28 jenis barangan keperluan asas akan dijual dalam program tersebut dan jumlah itu akan ditambah dari semasa ke semasa.

“Banyak lagi yang sedang kita susun. Matlamat kita kepada kumpulan ATM bukan semata-mata tentang kesiapsiagaan, tetapi kesejahteraan anda juga diberikan perhatian.

“Program JIMAT dilaksanakan bukan disebabkan ada sesuatu nak berlaku di Mahkota, tapi ini adalah penghargaan kepada semua golongan tentera kerana ia akan diadakan di seluruh kem dalam negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN