JHEAINS selidik, tentu hukum amalan pernikahan ahli GISBH - Utusan Malaysia

JHEAINS selidik, tentu hukum amalan pernikahan ahli GISBH

MOHD. ASRI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berpandangan siasatan lanjut termasuk mengadakan perbincangan Bersama Jabatan Mufti Negeri Sembilan bagi menentukan hukum pernikahan membabitkan ahli dan pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH).

Pengarah JHEAINS, Mohd. Asri Abdullah berkata, video tular nikah perkahwinan satu pusingan Aurad Muhammadiah sebagai mas kahwin itu memerlukan kepada siasatan lanjut untuk mengumpul maklumat dan memahami amalan pernikahan yang dilakukan sama ada ia menepati atau bersalahan dengan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003.

“JHEAINS juga akan berbincang dengan Jabatan Mufti Negeri Sembilan untuk menyelidiki perkara ini dan sekiranya perlu membentangkan hasil penyelidikan ke Jawatankuasa Fatwa untuk penentuan hukum pernikahan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah seperti dilaporkan media berkata, pernikahan pengikut GISBH dengan mas kahwin satu pusingan Aurad Muhammadiah adalah wirid Al-Arqam yang difatwakan sesat.

Menurutnya, status pernikahan yang menyebut satu pusingan Aurad Muhammadiah sebagai mas kahwin perlu disahkan oleh jabatan pendaftaran perkahwinan pejabat agama.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, JHEAINS telah menubuhkan pasukan petugas di peringkat jabatan yang dianggotai oleh beberapa bahagian dengan memberi focus beberapa perkara antar meningkatkan pemantauan ke atas premis-premis dan aktiviti-aktiviti yang disyaki ada kaitan dengan GISB.

“Ia untuk melihat sekiranya berlaku perlanggaran terhadap fatwa pengharaman ajaran dan fahaman al-Arqam termasuk Aurad Muhammadiah yang telah diwartakan pada 14 September 2016 dan perkara-perkara lain yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Menurut beliau, JHEAINS juga akan memperhebat hebahan kepada umum tentang kepentingan memilih institusi pendidikan dan sekolah agama swasta atau persendirian yang berdaftar dengan kerajaan untuk memastikan aspek kurikulum dan keselamatan dipenuhi.

“Antara tindakannya adalah hebahan melalui media sosial dan khutbah Jumaat semalam dan khutbah Jumaat beberapa minggu berikutnya.

“JHEAINS juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas institusi pendidikan dan sekolah-sekolah agama persendirian yang berdaftar dan dalam proses pendaftaran untuk memastikan tidak terdapat unsur-unsur tidak sihat atau pelanggaran peraturan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996.

“JHEAINS akan turut mengetatkan syarat kelulusan kutipan derma untuk institusi atau sekolah agama bagi mengelakkan eksploitasi kanak-kanak,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN