JDT berpeluh tewaskan Kuching City - Utusan Malaysia

JDT berpeluh tewaskan Kuching City

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva merembat bola ke arah pintu gol walaupun cuba dihalang pemain pertahanan Kuching City FC, Rodney Celvin dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa bermandi peluh sebelum mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan kekal di persada liga dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini.

Pada aksi babak pertama, tidak banyak aksi menarik dapat diperkatakan setelah anak buah Hector Bidoglio dilihat bergelut untuk merungkai benteng ampuh pasukan pelawat, malah amak buah Aidil Sharin Sahak bukan hanya bertahan, malah berjaya menyaingi kehebatan JDT apabila sesekali melancarkan serangan balas.

The Cats yang turun tanpa penjaring utama, Jordan Mintah mengejutkan pasukan tuan rumah apabila terlebih dahulu melakukan percubaan tepat ke arah gol menerusi rembatan, Petrus Shitembe dari luar kotak penalti pada minit keempat, namun berjaya dipatahkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

JDT mengatur serangan balas dan hampir mencipta jaringan menerusi rembatan deras Nazmi Faiz Mansor, malangnya rembatan itu terbias kaki pertahanan lawan dan terpesong dari pintu gol Kuching City pada minit ke-10.

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi diasak pertahanan Kuching City, Mohamad Arif Fadzilah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Bergson Da Silva yang masuk menggantikan Enzo Lombardo bersama Jorge Obregon mencari ruang untuk mencipta jaringan tetapi gagal menjelmakan jaringan yang diburu, malah Arif Aiman Hanapi yang banyak mencipta peluang dengan menghantar bola ke kotak penalti turut mencuba nasib dengan melakukan sepakan voli pada minit ke-36 tetapi rembatan itu sedikit tersasar.

The Cats berupaya menjanakan serangan beberapa kali dari sayap kanan, namun gagal memanfaatkan peluang itu untuk menghasilkan gol.

Obregon berjaya mencipta jaringan pada minit ke-40 setelah menolak bola yang gagal diselamatkan dengan kemas oleh penjaga gol, Shahril Sa’ari ke gawang lawan, namun jaringan itu dibatalkan setelah penyerang kelahiran Colombia berada dalam kedudukan ofsaid.

Disiplin tinggi yang dipamerkan Kuching City pada babak pertama itu gagal diterjemahkan pada babak kedua setelah gawang mereka bolos ketika perlawanan baru berusia tiga minit.

Kesilapan Moses Atuluku yang gagal mengeluarkan bola dari zon bahaya dirampas Arif Aiman lalu melakukan hantaran lambung kepada Bergson yang tidak dikawal pertahanan menanduk masuk menewaskan Shahril pada minit ke-48.

Pada minit ke-61, JDT berpeluang untuk menambah jaringan menerusi percubaan Oscar Arribas, namun pemain import itu gagal menewaskan Shahril yang bertindak cemerlang menutup ruang.

Arif Aiman terus menjadi duri dalam daging buat Kuching City menerusi larian solonya melepasi kawalan dua pemain lawan, namun sentuhan penyudah yang lemah gagal menewaskan penjaga gol pada minit ke-67.

Berselang 10 minit, Arif Aiman sekali lagi bijak melepasi kawalan pertahanan lawan melorongkan bola kepada Obregon, namun penyerang import itu serba tidak menjadi pada perlawanan itu apabila ketumpulan penyudahnya mudah dibaca penjaga gawang The Cats.

Ketika perlawanan memasuki 10 minit terakhir, Hector Bidoglio mampu menarik nafas lega apabila Juan Muniz berjaya menambah jaringan buat Harimau Selatan setelah sepakan leretnya melepasi jangkauan Shahril bagi meletakkan JDT pada kedudukan 2-0.

Pemain gantian, Fernando Welter yang dimasukkan pada babak kedua berjaya merapatkan kedudukan buat Kuching City pada minit ke-84, namun tidak berjaya memburu gol penyamaan hingga wisel penamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya