ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar menewaskan pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 6-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva muncul wira apabila meledak hatrik, jaringan hatrik ketiga musim ini dan yang ke-11 setakat ini.
Skuad Harimau Selatan hampir membuka jaringan seawal minit pertama menerusi sepakan voli Bergson, namun penjaga gawang, Fikri Che Soh tangkas menguis percubaan tersebut.
Pasukan kendalian Hector Bidoglio terus menggandakan asakan bagi memburu gol awal, namun rembatan Heberty Fernandes dari jarak dekat pada minit ke-10 jauh tersasar.
Anak buah Jae Hong Park yang mempamerkan corak permainan bertahan dilihat tampak berjaya menutup ruang daripada mengatur gerakan berbahaya dan melakukan percubaan ke arah gol.
Pemain baharu, Enzo Lombardo hampir menjaringkan gol pertamanya bersama juara liga 10 kali itu setelah mudah melepasi kawalan pertahanan, malangnya rembatan leret yang dilepaskan sedikit tersasar dari pintu gol pada minit ke-23.
Pemain kebangsaan, Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales masing-masing membuat percubaan ke arah gawang Kijang Emas, namun tidak berjaya membuahkan hasil, namun gol yang diburu JDT hadir minit ke-42 apabila hantaran silang Nazmi Faiz ke dalam kotak penalti berjaya disambut Bergson sebelum melakukan rembatan deras dari jarak dekat.
Sebelum tamat babak pertama, Bergson menggandakan jaringan yang berpunca daripada gerakan hantaran pendek antara Morales dan Fernandes sebelum penyerang kelahiran Brazil itu mengumpan bola kepada rakan senegaranya bagi mencipta jaringan pada minit ke-45.
Bersambung babak kedua, pasukan Harimau Selatan meningkatkan tempo permainan bagi memburu tambahan gol dan hampir mencipta jaringan hasil rembatan jarak jauh Jun Heong Park tetapi ia berjaya dinafikan penjaga gol.
Arif Aiman yang memukau pada aksi Liga Juara Asia Elit (ACLE), Rabu lalu berjaya memahatkan nama dalam senarai penjaring setelah memanfaatkan hantaran Enzo dengan melepaskan rembatan leret melepasi jangkauan penjaga gawang pada minit ke-55.
Tiga minit berselang, pemain sayap itu menambah gol peribadinya setelah menerima lorongan bola Fernandes dari tengah padang dan mudah mengatasi Fikri bagi menambah derita KDN FC pada minit ke-58.
Kegembiraan kem Harimau Selatan tersentak setelah pasukan tercorot liga itu mencipta jaringan menerusi Layth Kharoub pada minit ke-65 setelah rembatan rendahnya gagal diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Jaringan tersebut tidak merencatkan permainan JDT apabila Bergson melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-71 apabila mudah menolak masuk hantaran silang Arif Aiman.
KDN FC terus dirundung malang apabila gawang dibolosi kali keenam pada perlawanan itu menerusi jaringan sendiri Umeir Aznan yang tertanduk ke gawang sendiri pada minit ke-75.
Kemenangan tersebut menyaksikan JDT terus gah di persada Liga Super, manakala nasib berbeza dialami KDN FC yang merekodkan enam kekalahan berturut-turut.