Jakim sahkan roti jenama Ikhwan tiada sijil halal - Utusan Malaysia

Jakim sahkan roti jenama Ikhwan tiada sijil halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ia susulan Pusat Kajian Ajaran Sesat Malaysia (PUKAS) mempersoal kesahihan logo halal Jakim pada produk roti berkenaan dalam media sosial.

JAKIM dalam satu kenyataan berkata, semakan melalui Portal Halal Malaysia mendapati produk itu tidak memiliki SPHM yang sah.

Menurut Jakim, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap pertanyaan yang diterima mengenai produk berkenaan yang sedang tular ketika ini.

“Perkara ini melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam

“Ini melainkan jika diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa dan ditandakan dengan logo sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah tersebut,” katanya hari ini.

Sementara itu, Jakim sudah berhubung dgn Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan segera.

“Sekiranya didapati berlaku penyalahgunaan logo atau sijil halal pada produk, pihak syarikat boleh dikenakan tindakan di bawah akta terbabit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN