Isu aset beku dan kadar penetrasi hibah yang rendah dalam kalangan masyarakat Malaysia - Utusan Malaysia

Isu aset beku dan kadar penetrasi hibah yang rendah dalam kalangan masyarakat Malaysia

DOKUMENTASI hibah membolehkan anak-anak mewarisi harta pusaka dengan mudah sekiranya berlaku kematian ibu bapa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIBAH merupakan pemindahan hak milik aset secara sukarela semasa hayat seseorang dan ia adalah salah satu instrumen perancangan harta pusaka di Malaysia.

Ia merupakan salah satu alternatif kaedah pengagihan harta disamping instrumen lain seperti wasiat, harta sepencarian dan amanah. Mahkamah Syariah Malaysia selaku badan berautoriti juga telah mengesahkan kesahihan hibah dari sudut syariah untuk tujuan perancangan harta pusaka.

Ini menunjukkan dokumentasi hibah diterima dan diguna pakai dalam kerangka undang-undang Malaysia.

Perancangan harta pusaka memainkan peranan sangat penting dalam menangani isu aset beku di Malaysia. Setiap individu seharusnya perlu bersedia dan merancang harta mereka bagi mengurangkan angka aset beku yang kini mencecah RM90 billion.

Aset beku terjadi apabila berlaku kematian kepada pemilik aset dan kemudiannya tidak dapat dicairkan atau dipindah milik kepada pemilik baharu kerana tiada persediaan pemilik aset untuk menyediakan dokumen khas bagi melancarkan proses selepas ketiadaannya nanti.

Aset beku selalunya terikat dengan proses undang-undang atau pentadbiran, menjadikannya sukar untuk waris atau benefisiari mencairkan aset tersebut. Aset beku pada hakikatnya melambatkan proses pemindahan harta dari satu generasi kepada satu generasi, seterusnya menjejaskan perancangan kewangan jangka panjang seseorang individu. Sebagai contoh, waris sepatutnya menerima harta pusaka tunai sebanyak RM200,000 dan sebuah rumah yang boleh digunakan sebagai modal kehidupan seharian atau untuk kegunaan khas seperti membayar yuran pendidikan namun waris berhadapan masalah akibat kerumitan proses pentadbiran pusaka ditambah pula dengan sengketa perebutan harta sesama ahli keluarga.

Menurut tinjauan terbaharu oleh Hong Leong Islamic Bank bertajuk ‘Hong Leong Islamic Bank Wealth Survey 2024’ bagi mengetahui aplikasi dan persepsi pengurusan harta kekayaan Islam di kalangan umat Islam Malaysia, hanya 38% umat Islam Malaysia telah melakukan hibah, walaupun 81% daripada mereka menyedari perkhidmatan hibah digital ada ditawarkan di pasaran.

Persoalan di sini adalah, walaupun proses melakukan hibah kini lebih mudah dengan adanya perkhidmatan hibah digital seperti platform JOMHIBAH, mengapakah kadar rakyat Malaysia yang melakukan hibah masih rendah? Ini menunjukkan amat penting bagi institusi perbankan dan badan-badan berkenaan untuk meningkatkan usaha bagi menaikkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hibah.

Hibah bukan sahaja memberi impak kepada individu dan keluarga, tetapi juga kepada ekonomi. Dari segi ekonomi, alangkah sayangnya sejumlah besar aset beku tidak dapat digunapakai dan tidak disalurkan semula ke dalam ekonomi.

Isu aset beku semakin hari semakin meningkat dan mekanisme seperti hibah pastinya membantu bagi menangani isu ini. Hibah pula semakin diiktiraf sebagai salah satu cara terbaik untuk mengelakkan aset beku dan memastikan pengagihan harta lebih lancar di samping patuh syariah. Dengan itu, umat Islam amat disarankan untuk menyediakan hibah demi kelangsungan keluarga dan generasi akan datang. Selaras dengan era moden, hibah juga kini boleh dilakukan secara digital melalui platform atas talian seperti JOMHIBAH oleh SEDANIA As Salam Capital dan boleh dilayari di laman sesawang www.jomhibah.com. Ini bukan sahaja memudahkan proses dokumentasi dan pelaksanaan hibah bagi individu, malah ia merupakan satu anjakan paradigma dalam dunia pengurusan dan pentadbiran harta pusaka apabila hibah boleh dilakukan secara digital dan diperakui di mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN