TEL AVIV: Tentera Israel mengumumkan larangan perhimpunan melebihi 1,000 orang di tengah Israel berkuat kuasa hari ini, susulan ketegangan yang semakin memuncak ekoran pembunuhan pemimpin kanan Hezbollah, Hassan Nasrallah.
Jurucakap tentera, Daniel Hagari berkata, larangan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan awam berikutan potensi ancaman.
Beliau menegaskan, ancaman terhadap Israel masih belum berakhir dan Hezbollah masih memiliki keupayaan untuk bertindak balas.
“Kami berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk pertahanan dan serangan, dan orang awam mesti mematuhi arahan,” kata Hagari dalam kenyataan, hari ini.
Pengumuman itu dibuat susulan siri serangan udara yang dilancarkan tentera Israel yang menyasarkan kedudukan Hezbollah di Lubnan.
Susulan pembunuhan Nasrallah, tentera Israel juga mengancam untuk menyasarkan pemimpin kanan Hezbollah yang lain.
Pembunuhan Nasrallah menandakan peningkatan ketara dalam konflik berterusan antara Israel dan Hezbollah.- ANADOLU