MELAKA: Sebuah syarikat pemaju perumahan dikenakan kompaun RM1, 000 kerana tidak meletakkan sebarang tanda amaran berhampiran tong roro di laluan kecemasan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini, hingga menyebabkan dua beradik maut selepas motosikal dinaiki merempuh tong berkenaan, Isnin lalu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, syarikat yang menjalankan kerja-kerja mencantas dahan pokok itu sepatutnya meletakkan tanda amaran di tepi jalan.
“Penguat kuasa MBMB yang pergi ke tempat kejadian mendapati hanya ada satu kon dan tidak ada sebarang papan tanda amaran yang sepatutnya diletakkan tidak jauh dari tong roro itu.
“Kita tidak boleh berkrompomi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan meletakkan tong roro atau apa sahaja di tepi jalan tanpa sebarang tanda amaran kerana itu boleh menyebabkan insiden tidak diingini berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2024/09/IMG-20240924-WA00851-600x480.jpg)
Beliau mengulas kemalangan menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang membonceng motosikal bersama abangnya maut selepas merempuh tong roro yang berada di laluan kecemasan di Lebuh SPA.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa, Nur Afiqah Sofea Hazlin dan Muhammad Amirul Hazlin, 18, menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Dakwa ibu mangsa, Norizan Ujak, 40, yang menyaksikan kejadian, tiada pengawal lalu lintas yang berada di lokasi dan hanya satu kon sahaja diletakkan berhampiran tong tersebut. – UTUSAN