Insiden tentera maut ditembak pemburu haram disiasat kes bunuh - Utusan Malaysia

Insiden tentera maut ditembak pemburu haram disiasat kes bunuh

PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan lanjut kes tembak membabitkan anggota tentera yang sedang menjalani latihan di kawasan hutan di Song dalam Bahagian Kapit sehingga maut dipercayai dilepaskan pemburu haram hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kes bunuh.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut kes ini termasuk mengesan saksi-saksi berkaitan.

“Proses bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan di kawasan hutan di Song dalam Bahagian Kapit, maut terkena tembakan dipercayai dilepaskan pemburu haram pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata ketika ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa yang berpangkat koperal berusia 28 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit pada 7.43 pagi.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di kawasan hutan Batu 5 Jalan Balak Multiplus, Song itu pada 5.57 pagi hari ini.

“Pengadu memaklumkan bahawa seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan terkena tembakan disyaki dilepaskan oleh orang awam yang memburu di kawasan itu.

“Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kapit namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, anggota tentera yang maut dipercayai akibat tembakan rambang pemburu haram di Song, Sarawak disahkan meninggal dunia selepas lima jam bertarung nyawa.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan itu, mangsa adalah anggota formasi Briged 9, Sibu iaitu sebahagian daripada Batalion ke-13 Rejimen Renjer Diraja Sarawak.

Menurutnya, mangsa sedang menjalani Eksesais Pasak Bumi (EPB) bermula 21 hingga 29 September.

“Ketika kejadian, mangsa sedang melaksanakan latihan di kawasan am Song, Sarawak membabitkan kawasan am Kanowit – Nanga Dap – Song dan berkekuatan satu kompeni.

“Pada hari kedua latihan pada 2.45 pagi hari ini sewaktu sedang berehat platun terbabit mendengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap atau jalan balak berhampiran lokasi mereka berehat.

“Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan,” katanya.

TDM memaklumkan, pemeriksaan perimeter dilakukan susulan bunyi tembakan itu dan mendapati mangsa cedera akibat tembakan berkenaan.

Katanya, mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada 4 pagi seterusnya ke Hospital Kapit kira-kira pukul 5 pagi.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit pada 7.45 pagi hari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya