Insiden rumah amal: Suhakam gesa Suruhanjaya Inkuiri Diraja ditubuhkan - Utusan Malaysia

Insiden rumah amal: Suhakam gesa Suruhanjaya Inkuiri Diraja ditubuhkan

KEADAAN di dalam sebuah daripada rumah amal yang diserbu polis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta menubuhkan Suruhanjaya Inkuiri Diraja bagi menyiasat insiden rumah amal yang didakwa melakukan penderaan seksual supaya hasil dapatan dimanfaatkan sebagai panduan reformasi institusi dan seterusnya membantu mewujudkan sistem perlindungan kanak-kanak lebih holistik.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Dr. Farah Nini Dusuki berkata, malah pihaknya menggesa kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengkaji berkenaan strategi bersepadu dan merangka untuk menangani jenayah dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

Katanya, perkara tersebut bagi bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang terutamanya membabitkan kanak-kanak di pusat jagaan dan asuhan.

“Pesuruhjaya Kanak-Kanak juga memohon agar satu operasi khas dibuat untuk menggempur rumah amal kanak-kanak serta pusat asuhan bagi memastikan kesemua institusi ini mematuhi piawaian ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jenayah dan eksploitasi terhadap kanak-kanak yang berselindung di sebalik nama agama sebegini adalah amat memalukan. Kami amat terkilan kerana rumah-rumah amal tersebut berjaya beroperasi bertahun lamanya tanpa dapat dikesan aktiviti tidak bermoral yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Pada baru-baru ini, negara dikejutkan dengan serbuan polis terhadap beberapa rumah amal yang didakwa melakukan eksploitasi dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa mangsa kanak-kanak di rumah-rumah amal tersebut bukan sahaja diajar dan dididik cara untuk meliwat, malahan mereka turut diliwat penjaga dan seterusnya dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Dalam pada itu, Farah Dini berkata, semua proses pengendalian mangsa kanak-kanak termasuk siasatan terhadap pemerolehan bukti jenayah terhadap pemangsa hendak dilaksanakan mengikut prosedur yang sewajarnya yang bersifat mesra kanak-kanak.

Selain itu katanya, rawatan kaunseling dan psikologi terhadap mangsa kanak-kanak perlu dipastikan dapat membantu memulihkan trauma kanak-kanak dan membolehkan mereka membuka lembaran hidup yang baharu.

“Kami juga berpandangan bahawa bagi hala tuju penjagaan kesemua kanak-kanak selepas ini, sistem penjagaan berdasarkan keluarga adalah disyorkan kerana petempatan di rumah kanak-kanak yang sesak berisiko menambah trauma kepada kanak-kanak.

“Selain itu, Suruhanjaya Kanak-Kanak menekankan supaya kaunseling berterusan diberikan kepada kanak-kanak bagi mengenalpasti sejauh mana impak penderaan berlaku memberi kesan terhadap mereka dan mekanisme pemulihan sesuai dapat dijalankan ke atas kanak-kanak,” katanya.

Kata Farah Dini, jenayah dan eksploitasi terhadap kanak-kanak yang berselindung di sebalik nama agama amat memalukan dan pihaknya amat terkilan kerana rumah-rumah amal tersebut berjaya beroperasi bertahun lamanya tanpa dapat dikesan aktiviti tidak bermoral dijalankan.

“Bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang, Kami menyeru JKM untuk sentiasa memastikan agar semua pusat jagaan kanak-kanak bukan hanya perlu berdaftar, tetapi turut dipantau rapat dengan penuh bertanggungjawab,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN