Individu turunkan Jalur Gemilang di Melbourne keluar dari Malaysia sejak 2016 - Utusan Malaysia

Individu turunkan Jalur Gemilang di Melbourne keluar dari Malaysia sejak 2016

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Individu terlibat dalam video tular yang memaparkan Jalur Gemilang diturunkan sebelum diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak dikesan tidak mempunyai rekod masuk ke negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek lelaki berusia kira-kira 37 tahun itu didapati keluar dari negara ini pada Oktober 2016.

“Kita (polis) juga menyiasat satu pertubuhan bukan kerajaan, Republic of Sabah North Borneo (RSNB).

“Semakan melalui Open Source Intelligence (OSINT) mendapati ia didaftarkan di Australia, kita masih tunggu pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),”katanya di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, tular video berdurasi lapan minit 13 saat itu memaparkan tindakan sekumpulan individu menurunkan Jalur Gemilang sebelum menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang di hadapan bangunan Parlimen di Victoria, Melbourne.

Susulan itu, Polis menerima 35 laporan berkait penyebaran video itu, dengan 34 daripadanya di Sabah dan satu lagi di Kuala Lumpur.

Hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia, 16 September lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN