Imigresen tambah tiga jam waktu operasi di seluruh negara - Utusan Malaysia

Imigresen tambah tiga jam waktu operasi di seluruh negara

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menambahkan waktu pengoperasian selama tiga jam di pejabat pengeluar pasport di seluruh negara sepanjang cuti persekolahan yang bermula Isnin depan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah itu diambil bagi menangani isu kesesakan pelanggan yang ingin memohon dan memperbaharui pasport.

“Bermula cuti persekolahan Isnin depan sehingga Ahad (22 September), semua pejabat pengeluar pasport akan beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam iaitu pertambahan tiga jam kerja berbanding kebiasaannya sehingga pukul 5 petang.

“Selain itu, pada waktu rehat antara pukul 1 hingga 2 petang, kaunter juga akan dibuka seperti seperti biasa dan petugas diberi rehat secara bergilir-gilir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni Madani di Kampung La, Hulu Besut, di sini, semalam.

Ruslin memberitahu, orang ramai boleh membuat sebarang urusan melibatkan pasport di 72 pejabat pengeluar pasport di seluruh negara termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Tambahnya, bagaimanapun tiada perubahan masa operasi bagi pejabat pengeluar pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga beroperasi seperti biasa pada hari cuti.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, pihaknya juga menjangkakan pertambahan sehingga 15,000 permohonan pasport sehari pada musim cuti persekolahan ini berbanding 10,000 permohonan sehari pada hari biasa.

“Selepas musim Covid-19 lalu, rakyat Malaysia telah mula melancong keluar negara dan mereka memanfaatkan cuti persekolahan untuk datang ke pejabat imigresen bagi membuat permohonan pasport dan sebagainya.

“Bagi memudahkan orang ramai, mereka disarankan untuk membuat permohonan secara dalam talian, sekiranya ingin membuat pembaharuan pasport, sekaligus membantu mempercepatkan proses dan mengelakkan kesesakan di kaunter,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN