Ibu bapa, warga pendidik setuju UPSR dikembalikan - Utusan Malaysia

Ibu bapa, warga pendidik setuju UPSR dikembalikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rata-rata ibu bapa dan warga pendidik bersetuju sekiranya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan untuk mengukur keupayaan murid sebelum untuk peringkat selanjutnya.

Tinjauan komen Utusan Online di media sosial mendapati, mereka berpandangan perlunya satu kayu pengukur untuk menilai dan sejauh mana keupayaan murid sekolah khususnya daripada penguasaan membaca, menulis dan mengira atau 3M.

Ia susulan pandangan Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang bersetuju jika UPSR dikembalikan untuk mengukur keupayaan murid sebelum untuk peringkat selanjutnya.

“Betul itu, UPSR perlu dikembalikan. Bila ada peperiksaan, barulah pelajar ada matlamat dan fokus mengejar kecemerlangan dalam pelajaran,” komen pengguna media sosial, Muhammad Faiz Hashim dalam ruangan komen Facebook Asyraf Wajdi.

Nada sama juga dibuat seorang pensyarah, Dr. Ishak Johari yang bersetuju agar peperiksaan itu dikembalikan.

Malah seorang pejuang pendidikan, Mohd. Fadli Salleh atau Cikgu Fadli turut melihat cadangan berkenaan wajar.

“Alhamdulillah. Bertahun-tahun saya konsisten sebut hal ini minta mereka wujudkan semula peperiksaan UPSR khususnya, kali ini Kementerian Pendidikan bagi respon positif.

“Terima kasih Kementerian Pendidikan mendengar luahan dan peduli kerisauan para ibu bapa, guru-guru dan murid-murid,” katanya.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berpandangan perlu ada sistem penilaian berpuasa dan berselaras membabitkan dalam kalangan murid sekolah rendah.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi Darjah 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah digesa disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak tahu membaca, menulis dan mengira.

Peperiksaan tersebut dianggap sebagai pengukur kepada tahap peningkatan pendidikan pelajar-pelajar sebelum mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memilih bidang pengajian di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT).

Katanya, beliau berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini yang menyedari punca kepada 10,177 pelajar tidak menduduki SPM tahun lalu.

UPSR dan PT3 dimansuhkan sepenuhnya mulai 2022 sebelum digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara menyeluruh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN