TEMERLOH: Pas akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO selain Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk kedua-dua parti itu pada 14 September 2019.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, selain pimpinan UMNO, pertemuan juga akan diadakan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali.
Jelasnya, Pas komited menghidupkan kembali MN seperti mana digagaskan terdahulu dan terbuka menerima UMNO dan pimpinan parti berkenaan.
“Pas juga akan terus menarik sokongan pemimpin Melayu dan bumiputera serta bukan Islam yang tidak ekstrem. Ini merupakan pegangan kita Pas,” katanya dalam sidang akhbar pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur di sini hari ini.
Mengulas tentang MN sebenar, Abdul Hadi berkata, ia merupakan perbincangan asal penyatuan orang Melayu dan bumiputera.
“Ia melibatkan beberapa orang pemimpin UMNO semasa Ahmad Zahid bercuti, dia tidak terlibat dan kita bersetuju untuk mengumpulkan ahli-ahli Parlimen Melayu, bumiputera untuk mengambil alih kerajaan bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kita berjaya ambil alih kerajaan dalam beberapa tempoh.
“Tapi tak teguh, tak kuat kedudukannya. Ini cerita dahululah, tapi ada kejayaannya dan ada kesannya. Kesannnya adalah beberapa pimpinan UMNO bersama dengan kita tinggal segelintir sahaja yang bersama dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Ditanya tentang reaksi UMNO berhubung usaha menghidupkan kembali MN, beliau berkata, terdapat perbezaan antara UMNO dengan orang UMNO.
“Ada beza antara UMNO dengan orang UMNO. UMNO ada undang-undang tubuh dia. Ada orang UMNO yang sudah lari dengan undang-undang tubuh UMNO. Ada yang masih berpegang dengan dasar UMNO.
“Semasa perjuangan kemerdekaan, kerjasama pernah berlaku, contohnya kejayaan meletakkan Islam sebagai agama negara. Itu kerjasama Pas dan UMNO. Ahli Parlimen Pas seorang sahaja ketika itu.
“Pimpinan-pimpinan termasuk 13 Mei zaman Tun Abdul Razak kita berjaya mengawal keadaan negara ketika itu. Apabila negara berada dalam keadaan yang cemas, kita bersama termasuklah untuk melawan komunis, Pas sokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk melawan komunis sekitar tahun 50an, 60an” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pas kekal dengan pendirian tidak akan menyertai PH dalam apa jua bentuk sekalipun.
“Selagi PH berpegang kepada prinsip dan dasar yang pragmatik, tidak konsisten yang mana komponennya bukan parti yang mempunyai dasar yang teguh.
“Ada yang dasar yang bercanggah dengan perjuangan kita contohnya DAP. DAP yang sekular, malaysian malaysia dan politik antarabangsa pun parti itu mengikut Singapura, Taiwan dan Amerika Syarikat,” dakwanya. – UTUSAN