‘Hatyai tidak akan lari, jangan tergesa-gesa’ - Imigresen

‘Hatyai tidak akan lari, jangan tergesa-gesa’ – Imigresen

BERADA di Hatyai seolah-olah seperti di Malaysia apabila dipenuhi pengunjung dari negara ini khususnya pada cuti hujung minggu di Hatyai, Thailand, Ahad lalu. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 57,003 individu dikesan melalui dua pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kedah untuk ke negara jiran sejak Khamis lalu sehingga pukul 12 tengah malam semalam.

Jumlah tersebut dijangka terus meningkat susulan cuti sekolah serta cuti Hari Malaysia.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, seramai 51,000 pelawat melalui pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sejak Khamis lalu, manakala seramai 6,003 orang menerusi ICQS Kota Putra sejak Jumaat lepas.

Menurut beliau, jumlah itu dijangka meningkat apabila lebih ramai keluarga mengambil peluang untuk bercuti ke destinasi popular seperti Hatyai.

“Dalam usaha menghadapi peningkatan bilangan pelawat, JIM Kedah mengambil langkah proaktif dengan membuka enam kaunter tambahan di pintu sempadan bagi menampung keperluan yang semakin mendesak,” katanya di sini semalam.

Beliau mengingatkan orang ramai agar merancang perjalanan dan mematuhi peraturan imigresen, terutama di pintu masuk popular seperti ICQS Bukit Kayu Hitam dan ICQS Kota Putra.

“Perancangan yang rapi bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan, malah menjamin kelancaran perjalanan. Pastikan pasport anda sah dan lengkap sebelum ke sempadan.

“Selain itu, periksa juga status perjalanan imigresen terlebih dahulu untuk mengelakkan masalah pada saat akhir seperti isu cukai pendapatan atau rekod kesalahan yang boleh menghalang perjalanan ke luar negara,” katanya.

Kata Ridzzuan, pihaknya menyarankan insurans perjalanan yang lengkap berikutan kejadian pelancong Malaysia mengalami kerugian hampir RM30,000 selepas terlibat kemalangan di Thailand gara-gara tidak mengambil insurans penuh.

“Pastikan semua persediaan dibuat dengan teliti termasuk insurans perjalanan bagi mengelakkan percutian bertukar menjadi mimpi ngeri,” jelasnya.

Tambahnya, pemandu juga dinasihatkan supaya bersabar dan memandu dengan berhati-hati, mematuhi peraturan imigresen Thailand serta menjaga adab sebagai wakil Malaysia di luar negara.

“Hatyai tak akan lari, jangan tergesa-gesa. Saya juga mahu mengingatkan pelawat agar tidak membawa masuk barang larangan yang diharamkan kerajaan Malaysia apabila pulang ke tanah air nanti. Ini penting bagi menjaga keselamatan negara dan mengelakkan sebarang tindakan undang-undang yang boleh menjejaskan pelancong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya