KUANTAN: Polis mengesan tindakan seorang lelaki yang menggunakan gelaran datuk palsu sejak lebih setahun lalu dipercayai bertujuan bagi mendapatkan pengaruh atau jawatan tertentu dalam persatuan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia lewat 40an itu sudah pun dikenalpasti dan pihaknya sedang mengambil tindakan selanjutnya.
“Kita sudah membuat siasatan dan telah mendapat pengesahan dengan pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri mengatakan memang tidak dikeluarkan (gelaran) kepada penama tersebut.
“Kita sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Tambah Yahaya lagi, polis juga akan mendapatkan keterangan pihak tertentu yang berkaitan dan kemudiannya akan mengesan dan memanggil suspek yang dipercayai masih berada dalam negara.
“Suspek sudah dikenalpasti, cuma kita masih perlu lengkapkan lagi kertas siasatan. Ada beberapa yang perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak tertentu sebelum mendapatkan suspek,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menjalankan siasatan berhubung dakwaan penggunaan gelaran datuk palsu membabitkan seorang ahli bersekutu sebuah pertubuhan di negeri ini.
Siasatan dijalankan berikutan laporan polis yang diterima Pertubuhan Jenayah Kebangsaan tentang Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran datuk yang tidak wajar. – UTUSAN