Gulai lemak pucuk paku terakhir ibu untuk 6 beradik

Gulai lemak pucuk paku terakhir ibu untuk 6 beradik

MUHAMAD Riduan Mohd. Yusoff (belakang, kiri) bersama adik-beradiknya menunjukkan gambar ibu mereka yang maut kemalangan semasa ditemui di Chucuh Puteri, Kuala Krai, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Enam beradik dari Kampung Chuchuh Puteri di sini sama sekali tidak me­nyangka gulai lemak pucuk paku merupakan air tangan terakhir ibu mereka Zaiton Haron, 49, selepas maut dalam kemalangan di Kilometer 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Masjid Pahi di sini semalam.

Anak sulung, Muhamad Ri­duan Mohd Yusoff, 25, berkata, sebelum ini ibu yang merupakan pekerja kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pahi hanya menyediakan masakan ringkas untuk mereka.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian ibu ada pulang ke rumah pada pukul 11 pagi hingga 6 petang.

“Sepanjang berada di rumah ibu sibuk memasak, kemas rumah, jemur tilam, cuci pakaian dan sebagainya.

“Kebiasaannya, setiap kali pulang, ibu hanya banyak berehat. Namun kali ini saya lihat ibu beria masak untuk kami,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah di Ranca­ngan Pemulihan Tanah (RPT) Chucuh Puteri, di sini semalam.

Menurut Muhamad Riduan, pada hari bekerja, ibu menum­pang di rumah emak saudaranya, Noriha Che Ali, 49, di Kampung Pahi yang turut maut dalam kemalangan tersebut

Katanya, mereka hanya me­ngetahui kejadian tersebut pa­da pukul 3.30 petang selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung sebelum dibawa oleh saudara mara ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk melihat keadaan ibu.

“Ayat terakhir ibu kepada sa­ya sebelum bertolak pulang ke Pahi, dia berpesan kepada saya untuk menjaga adik-adik supa­ya mereka tidak kelaparan.

“Rupanya ini pesanan ter­akhir ibu. Saya mengambil tugas menjaga adik-adik sejak Mac. Sebelum ini saya bekerja di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Utusan Online semalam melaporkan, dua sahabat maut apabila motosikal yang dinaiki mereka ketika dalam perjalanan pulang ke rumah terlibat kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Masjid Pahi.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang merupakan wanita berusia 48 dan 49 tahun itu maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 4 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN