GISBH: Siasat dengan telus, jangan berlebihan - Takiyuddin - Utusan Malaysia

GISBH: Siasat dengan telus, jangan berlebihan – Takiyuddin

TAKIYUDDIN Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas memohon pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara tidak berlebihan terhadap dakwaan dan tuduhan yang dilontarkan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas mengikuti rapat perkembangan siasatan terhadap GISBH yang berkait beberapa isu, termasuk fahaman salah dan eksploitasi kanak-kanak.

“Pas mengalu-alukan siasatan yang telus, terperinci dan profesional ke atas pelbagai dakwaan terhadap GISBH mengikut undang-undang yang sesuai, sama ada melibatkan aspek kepercayaan dan pegangan keagamaan, mahupun isu-isu lain seperti amalan perniagaan, salah laku seksual, penganiayaan, perbuatan jenayah dan sebagainya.

“Namun begitu, berdasarkan kempen dan naratif negatif berkait kumpulan ini yang banyak tersiar di media sosial khasnya, yang mahu tindakan segera dan tegas diambil, Pas menggesa semua langkah diambil mestilah dibuat secara cermat dan teliti bagi memastikan tidak berlakunya pengabaian hak, ketidakadilan, dwi standard atau tindakan yang berlebihan-lebihan.

“Pas juga menyokong penuh tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang didapati bersalah, tetapi keghairahan untuk menghukum mereka tidak seharusnya memberi kesan buruk ke atas kumpulan itu secara keseluruhan, terutama sekali ahli-ahlinya yang tidak bersalah atau aspek-aspek aktiviti GISBH yang sah, patuh undang-undang dan bermanfaat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, Pas juga percaya terhadap sisi positif yang ditampilkan oleh GISBH menerusi jaringan perniagaan mereka.

“Dalam hal ini, Pas percaya sisi-sisi positif kumpulan ini, termasuk jaringan perniagaannya yang luas, hendaklah dipelihara dan dilindungi daripada tindakan terburu-buru dan tidak adil yang mungkin berpunca daripada sentimen melulu, prasangka, persaingan perniagaan atau agenda politik tertentu pihak-pihak yang mahu menangguk di air keruh,” ujarnya.

Semalam, polis menahan 155 lagi ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dalam serbuan besar-besaran melibatkan pelbagai agensi di seluruh Semenanjung Malaysia pada awal pagi.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata 78 lelaki dan 77 wanita ditahan di bawah Fasa 4 Ops Global manakala 186 mangsa lagi diselamatkan, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Penahanan itu dilakukan selepas polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dalam serbuan ke atas 20 rumah amal GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan pada 11 September, dengan 171 orang ditangkap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN