GISBH: Papan tanda bengkel diturunkan pada waktu malam - Utusan Malaysia

GISBH: Papan tanda bengkel diturunkan pada waktu malam

SEBUAH bas milik GISBH diletakkan di hadapan sebuah bengkel kenderaan yang diuruskan syarikat itu dengan papan tanda premis bengkel berkenaan dipercayai telah diturunkan pada malam kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Papan tanda sebuah premis bengkel kenderaan yang mempunyai kaitan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH) di Bandar Baru Enstek, Nilai di sini didakwa telah diturunkan oleh ahli atau pengikut kumpulan itu pada waktu malam.

Seorang pekerja sebuah kedai di kawasan itu yang enggan dikenali memberitahu, dia terkejut apabila melihat papan tanda di bengkel berkenaan telah hilang sedangkan mengakui papan tanda itu masih ada pada hari sebelumnya.

“Pagi semalam saya lihat papan tanda bengkel berkenaan sudah tiada sedangkan hari sebelumnya ia masih berada di situ.

“Saya rasa pekerja di situ yang membukanya pada waktu malam susulan operasi dan siasatan berterusan oleh pihak polis terhadap ahli dan pengikut GISBH ketika ini. Ada rakan memberitahu ada ternampak kehadiran pekerja di situ pada waktu malam kelmarin.

“Sejak minggu lepas bengkel ini sudah tidak lagi beroperasi, di atas bengkel juga terdapat tempat penginapan atau asrama buat pekerja yang saya percaya dalam kalangan ahli mereka, di situ juga sudah tidak kelihatan kelibat mereka, lagipun sejak kes ini timbul anggota polis juga kerap meronda di sekitar kawasan ini,” katanya di sini.

Lelaki itu turut memberitahu, pekerja di bengkel tersebut sebelum ini kerap dilihat membaiki kenderaan dipercayai milik syarikat itu seperti bas dan ambulans juga termasuk float kuda.

Sementara itu, tinjauan di premis berkenaan mendapati ia ditutup namun beberapa buah kereta dan sebuah bas milik syarikat itu berada di hadapan bengkel itu.

Tinjauan di beberapa premis milik GISBH di sekitar kawasan itu juga termasuk sebuah pejabat urusan GISBH Bandar Baru Enstek, restoran, pusat rawatan komplementari, dan premis borong dan runcit produk muslim juga tutup dan tidak beroperasi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN