GISBH: Mahkamah Syariah Seremban benar jaminan bon terhadap pengerusi, mudir madrasah - Utusan Malaysia

GISBH: Mahkamah Syariah Seremban benar jaminan bon terhadap pengerusi, mudir madrasah

DUA individu yang merupakan pengerusi dan mudir sebuah madrasah di Kuala Pilah dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Seremban hari ini bagi permohonan bon jaminan terhadap kedua mereka yang disyaki melakukan kesalahan mengikut eksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Islam Negeri Sembilan 1996 dan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Rendah Syariah Seremban hari ini membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terhadap dua individu iaitu pengerusi dan seorang mudir sebuah madrasah di Ulu Beting, Kuala Pilah yang mempunyai kaitan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH).

Hakim Syarie, Nurul Akmar Mohamad Hilmi menetapkan bon jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang terhadap kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) masing-masing berusia 58 dan 51 tahun itu dengan dua orang penjamin yang bermastautin di Negeri Sembilan.

Ia selepas permohonan dikemukakan oleh pegawai penguat kuasa agama JHEIANS bagi membolehkan kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Islam Negeri Sembilan 1996 dan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2019.

Nurul Akmar kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 12 November ini.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Mohd. Asri Abdullah dalam kenyataannya memberitahu, penahanan kedua-dua orang disyaki ini adalah untuk siasatan lanjut berkaitan pengoperasian sekolah agama tanpa kebenaran di Kuala Pilah.

“Bagaimanapun ketika soal siasat dijalankan kedua-dua OYDS didapati cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah yag telah difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

“Sehubungan itu hari ini JHEAINS telah membuat permohonan bon jaminan di Mahkamah Rendah Syariah Seremban bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan dan memastikan mereka hadir pada tarikh sebutan semula kes iaitu 12 November akan
datang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan JHEIANS membuat pemeriksaan di dua buah rumah di madrasah itu pada 6 September lalu selepas menerima maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan berhubung dakwaan berlakunya perbuatan liwat membabitkan penghuni di situ.

Baru-baru ini empat pembantu pengajar di madrasah berkenaan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di madrasah tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN