Gerakan gesa kerajaan haramkan rokok elektronik - Utusan Malaysia

Gerakan gesa kerajaan haramkan rokok elektronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendesak kerajaan untuk segera mengharamkan rokok elektronik atau vape ekoran penggunaan semakin meluas dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan remaja.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Wendy Subramaniam berkata, ia berikutan terdapat ‘Flavour Mushroom’ menyebabkan pelajar yang menghisap vape akan mengalami fenomena halusinasi.

“Trend ini amat membimbangkan, terutamanya dengan peningkatan penggunaan bahan ini yang boleh membawa kesan sampingan yang serius.

“Penularan penggunaan dadah yang bersembunyi di sebalik produk vape ini bukan sahaja menjejaskan masa depan generasi muda, malah menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 29 Julai lalu, seorang pelajar lelaki tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di daerah ini terpaksa dikejarkan ke Hospital Kemaman selepas tidak sedarkan diri dan sawan dipercayai akibat menghisap vape jenis ‘magic mushrooms’ secara berlebihan.

Mangsa dikatakan secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika berada di sekolahnya.

Selain itu, Wendy berkata, terdapat 37 negara yang melarang jual beli vape iaitu negara-negara Asia Tenggara seperti Singapura malah Thailand juga melarang sepenuhnya penjualan, penggunaan, dan pemilikan vape.

“Kerajaan Malaysia seharusnya memberi perhatian yang lebih serius dan mempertimbangkan untuk menguatkuasakan pengawalan ketat atau larangan sepenuhnya terhadap vape,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap laporan baru-baru ini bahawa terdapat pelajar menggunakan vape di tandas sekolah dan bilik darjah yang tidak digunakan.

“Kami menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu bekerjasama dan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penggunaan vape,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN