JOHOR BAHRU: Geng Bala yang aktif melakukan jenayah samun dan pecah rumah di sekitar bandar raya ini, Kulai, Pontian dan Muar tumpas dengan tertangkapnya 11 ahli termasuk ketuanya.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, sembilan lelaki dan dua wanita ahli kumpulan yang berusia antara 20 hingga 65 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan antara 12 Ogos hingga 26 Ogos lalu.
“Modus operandi kumpulan ini yang dipercayai aktif sejak enam bulan lalu adalah dengan menyasarkan kawasan perumahan mewah dan tiada berpengawal. Mereka akan masuk selepas mengumpil pintu gelangsar menggunakan kuku kambing dan pemotong besi.
“Mereka menyasarkan barangan berharga yang boleh dijual semula seperti barang kemas, minuman keras berjenama, alat permainan dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar berkata, suspek berusia 65 tahun yang ditahan merupakan ‘pembeli’ barangan yang dicuri kumpulan tersebut sebelum barangan itu dijual semula dalam pasaran.
“Dalam operasi tersebut, polis turut berjaya menemukan sebahagian daripada barangan curi yang dianggarkan bernilai RM95,000,” katanya.
Menurutnya, lapan daripada 11 suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.
“Kesemua suspek kini ditahan reman hingga 7 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397, Seksyen 457, Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan. Salah seorang turut disiasat di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN