Gajah ‘masuk’ stadium tarik perhatian 45,000 pengunjung Perlis

Gajah ‘masuk’ stadium tarik perhatian 45,000 pengunjung Perlis

KEHADIRAN dua ekor gajah yang diarak masuk ke dalam stadium sejurus selepas acara perbarisan kontinjen berakhir menarik perhatian lebih 45,000 pengunjung bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat negeri ini di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kehadiran dua ekor gajah yang diarak masuk stadi­um sejurus selepas acara perbarisan kontinjen berakhir menarik perhatian lebih 45,000 pengunjung yang memenuhi Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini bersempena sam­butan Hari Kebangsaan 2024 peringkat negeri ini, semalam.

Gajah yang dikenali sebagai Rambai dan Pian itu didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Lanchang, Pahang sekali gus mencipta keunikan tersendiri pada ma­lam sambutan ambang kemer­dekaan tersebut.

Perarakan gajah tersebut didahului dengan Badang Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin yang mencipta sensasi pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dengan merangkul pingat emas acara angkat berat selepas memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali.

Istimewanya lagi, gajah berke­naan juga mengiringi para atlet Sukma Perlis yang telah memenangi pingat emas pada temasya berkenaan baru-baru ini.

Sambutan yang dimulakan dengan perbarisan dan pera­ra­kan bermula pada pukul 8 malam itu menampilkan seba­nyak 66 kontinjen membabitkan 2,600 peserta dari jabatan kerajaan negeri, persekutuan, badan berkanun, pasukan beruniform, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai lagi.

Selain itu, pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh artis terkenal seperti Naqiu selain persembahan tarian dan nyanyian pelajar sekolah, persembahan brass band dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) persembahan koir, pantomim kemerdekaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertunjukkan kawas senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil berke­nan berangkat menyempurnakan majlis sambutan yang cukup meriah itu. Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Majlis gilang-gemilang itu diakhiri dengan laungan ambang merdeka seterusnya menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu negaraku beserta pertunjukan bunga api.

Sementara itu, Mohd. Shukri dalam ucapannya berkata, semangat patriotisme bukan sekadar mengibarkan bendera atau menyanyikan lagu kebangsaan namun ia lebih kepada mencintai dan menjaga negara dengan sepenuh hati.

“Dalam kita meraikan kemer­dekaan, marilah kita bersama-sama merenung nasib saudara kita di Palestin. Isu Palestin bukan hanya isu agama, tetapi isu kemanusiaan yang perlu difahami dan dihayati.

“Perjuangan mereka untuk mendapatkan kebebasan dari­pada ditindas, mengingatkan kita tentang betapa berharganya kemerdekaan yang kita miliki di negara ini. Saya menyeru,supaya kita semua sentiasa menyokong dan bersolidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam mencari keamanan dan keadilan,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya