KUALA KRAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah dan beruang Matahari dalam dua operasi bersaingan di sini semalam.
Tangkapan gajah itu dilakukan di Kampung Gua Ikan, Dabong manakala beruang Matahari di Sungai Pas.
Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata, gajah jantan yang ditangkap pada pukul 11 pagi itu berada dalam keadaan stabil.
“Sebelum itu, kami (Perhilitan Kelantan) menerima menerima aduan berkait ancaman haiwan liar pada 29 Ogos lalu.
“Kemudianya, pada 31 Ogos lalu, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan telah menjalankan operasi untuk menangkap haiwan terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad Hafid memberitahu, tangkapan itu bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kampung berkenaan terletak berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa merupakan habitat asal haiwan berkenaan.
Sementara itu Mohamad Hafid berkata, beruang Matahari ditangkap pada pukul 5.30 petang semalam selepas haiwan berkenaan masuk ke dalam perangkap yang telah dipasang.
Katanya, pemerhatian awal mendapati beruang Matahari tersebut dalam keadaan stabil.
“Beruang Matahari yang ditangkap adalah dipercayai dari Hutan Simpan Kekal (HSK) berdekatan iaitu Sungai Rek. Jarak lokasi tangkapan sekitar lima kilometer sahaja dari kebun penduduk,” ujarnya.-UTUSAN