Formula kerjasama PH-BN perlu diteruskan - Utusan Malaysia

Formula kerjasama PH-BN perlu diteruskan

ANTHONY Loke Siew Fook ketika ditemui sewaktu sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Formula kerjasama dua gabungan parti iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika menghadapi pilihan raya perlu diteruskan kerana ia berupaya menarik sokongan segenap lapisan masyarakat negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara tersebut dibuktikan lagi menerusi kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota iaitu dengan majoriti lebih 20,000.

“Ini membuktikan bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan iaitu BN dan PH semakin baik dan kukuh serta mula menunjukkan hasil. Apabila kita menyatukan kekuatan dan sokongan kedua-dua gabungan ini maka hasilnya bukan sahaja boleh menewaskan Perikatan Nasional tetapi menggarap sokongan segenap lapisan rakyat Malaysia

“Ini merupakan kekuatan yang paling besar dalam Kerajaan Perpaduan kerana apa yang mahu dibawa dalam Kerajaan Perpaduan adalah satu politik kerjasama, muafakat yang menyatukan semua lapisan rakyat Malaysia daripada semua kaum, agama, mahupun wilayah.

“Sekiranya usaha ini diteruskan kita akan berjaya bukan sahaja dalam pilihan raya malah kita akan angkat kerajaan kita dengan lebih efisien dengan lebih baik dan sebagai sebuah negara yang hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Semalam, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,648 undi.

Sementara itu, mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, formula gabungan PH-BN boleh memberikan kemenangan besar dalam mana-mana pilihan raya dihadapi selepas ini khususnya di kerusi-kerusi campuran seperti di DUN Mahkota.

“Di DUN Mahkota diwakili oleh BN tetapi hakikatnya kemenangan itu adalah kemenangan calon Kerajaan Perpaduan kerana kami berkempen secara bersama-sama, buktinya calon ini menang di semua daerah mengundi malah di semua saluran.

“Ini berbanding dahulu sekiranya BN berlawan dengan PH dan PN, ada daerah yang mereka kalah khususnya di kawasan bukan Melayu, tetapi semalam jelas bahawa mereka menang di semua saluran dan kawasan, ini bukti kita dapat satukan rakyat daripada pelbagai kaum untuk menyokong agenda Kerajaan Perpaduan.

“Sekiranya diteruskan kerjasama ini dengan ikhlas dan jujur saya yakin kejayaan lebih besar diperoleh Kerajaan Perpaduan pada masa akan datang tetapi semua pihak kena meneruskan kerjasama ini,” kata beliau lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN