KULAI: Filem tempatan mencapai kutipan ‘box office’ sebanyak RM97.5 juta setakat ini, menghampiri jumlah kutipan ‘box office’ keseluruhan tahun lepas sebanyak RM98.8 juta.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, angka itu direkodkan hasil tayangan 27 buah filem, termasuk Takluk: Lahad Datu yang sedang ditayangkan ketika ini.
“Kutipan ‘box office’ tahun ini telah mencapai RM97.5 juta, hampir sama dengan kutipan sepanjang tahun 2023. Ini menunjukkan kualiti filem tempatan semakin meningkat dan turut mendapat sokongan penonton.
“Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk datang ke pawagam dan terus menyokong filem tempatan, bukan sebaliknya hanya menyokong filem antarabangsa kerana kualiti filem kita telah meningkat,” katanya semasa menghadiri program Jom Tonton Wayang Takluk: Lahad Datu di pusat beli-belah IOI Mall Kulai, di sini hari ini.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut memberitahu, kutipan filem tempatan tertinggi tahun ini masih milik Sheriff: Narko Integriti, manakala kutipan box office tertinggi tahun lepas direkodkan Polis Evo 3.
“Dengan peningkatan kualiti filem tempatan, ini adalah waktu terbaik bagi penonton menunjukkan sokongan mereka, sebagai contoh filem Takluk: Lahad Datu, ia berdasarkan kisah benar dan memupuk semangat cintakan tanah air,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan sesi libat urus dengan penyedia platform media sosial bulan ini.
Sesi itu bertujuan menjalin kerjasama dengan pihak terbabit bagi memastikan data peribadi pengguna tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk penggunaan teknologi seperti ‘deepfake’ dan kecerdasan buatan (AI).
“Antara tumpuan adalah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian platform media sosial yang lebih efektif dan ketat. Langkah ini penting bagi membolehkan MCMC atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan jika diperlukan.
“Teknologi seperti ‘deepfake’ sudah lama ada, tetapi dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), ia turut digunakan ‘scammer’ untuk melakukan jenayah termasuk penyebaran gambar lucah dan bahan melibatkan kanak-kanak. Itu sebabnya kita perlu dapatkan kerjasama dengan penyedia platform seperti Meta, Telegram, TikTok dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN