Festival Pengakap Antarabangsa Pahang 2024 terima pengiktirafan MBOR - Utusan Malaysia

Festival Pengakap Antarabangsa Pahang 2024 terima pengiktirafan MBOR

LEBIH 19,000 peserta menyertai Festival Pengakap Antarabangsa Pahang 2024 (PISSF 2024) di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Festival Pengakap Antarabangsa Pahang 2024 (PISSF 2024) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) kerana mencatat penyertaan peserta paling ramai berjumlah 19397 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, selain peserta dari seluruh negeri di negara ini, festival itu turut disertai lima negara, Indonesia, Thailand, Myanmar, Singapura dan Brunei.

“Bagi penyertaan mengikut negeri, Johor mencatatkan penyertaan paling ramai iaitu lebih daripada 1,700 penyertaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengakap dari ibu pejabat yang turut hadir dan pesuruhjaya pengakap dari setiap negeri yang turut sama menjayakan himpunan yang cukup bersejarah ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat festival berkenaan di Stadium Darul Makmur di sini hari ini.

Fadzli berkata, program itu memperlihatkan sinergi yang cukup baik dan menyatukan peserta membabitkan pelbagai kaum.

“Festival ini turut mendapat penyertaan peserta dari luar negara yang turut bersama dan bersatu hati menjayakan program ini.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan jika tiada kesepakatan dan kepercayaan yang dibina dalam pengakap itu sendiri,” ujarnya.

Jelasnya, festival itu merupakan penganjuran kali kedua di negeri ini dan berharap ia akan terus dilaksanakan di negeri.

“Program kali pertama pada tahun lalu membabitkan penyertaan kira-kira 8,000 peserta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN