Fenomena air pasang besar mula melanda Teluk Intan

Fenomena air pasang besar mula melanda Teluk Intan

SALLEH Mat Isa menjual nanas kepada pelanggan di petak perniagaannya dalam keadaan air pasang besar di Teluk Intan, semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Beberapa kawa­san rendah di bandar ini dinaiki air semalam dipercayai akibat fenomena air pasang besar.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati air naik di kawasan berdekatan tebing sungai melibatkan Jalan Putra, Jalan Sithambarapillay, Jalan Berhala, Jalan Wah Keng Jooi, Jalan Acheng dan Jalan Pasir Bedamar.

Air pasang besar berlaku me­ngejut telah menjejaskan ak­tiviti perniagaan di kawasan terlibat, namun paras air surut dalam tempoh kira-kira sejam.

Penduduk yang ditemui ber­kata, kejadian air pasang besar mungkin disebabkan musim tengkujuh terutama hujan di Pulau Pinang yang menyebabkan pokok tumbang dan kawa­san rumah dilanda banjir kilat di negeri itu.

Peniaga nanas, Salleh Mat Isa, 59, berkata, air pasang besar naik sehingga ke tempat dia berniaga di petak perniagaannya di Jalan Putra di sini, pagi semalam.

Katanya, paras air naik terlalu cepat sehingga dia tidak sempat untuk mengubah nanas jualannya.

“Sudah lima tahun saya berniaga di sini, dan semalam saya buka perniagaan seperti biasa. Selepas meletakkan buah di petak perniagaan, tiba-tiba air naik mendadak namun tidak sampai menenggelamkan jualan saya.

“Saya terus menjual nanas dalam keadaan air pasang, pe­langgan tetap datang seper­ti biasa walaupun paras air men­cecah buku lali,” katanya.

Menurutnya, fenomena air pasang besar menjadi kebimbangannya jika paras air naik semakin tinggi seperti mana berlaku beberapa tahun lalu.

“Kita tak tahu mungkin esok atau lusa berlaku lagi air pasang besar, jadi saya kena bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan ini.

“Namun, saya tetap mahu terus berniaga untuk meme­nuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Pada November 2021, beberapa kawasan di bandar Teluk Intan dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar akibat melimpahi tebing su­ngai dari Sungai Perak, Sungai Batang Padang dan Sungai Bidor.

Air pasang besar menjejas­kan beberapa premis perniagaan di bandar ini yang terletak berhampiran Sungai Perak dinaiki air.

Turut dinaiki air ialah bangunan Pejabat Pos Teluk Intan dan beberapa lokasi rendah di bandar ini.

Air pasang besar turut menyebabkan banjir di Kampung Hujung Rintis di sini. Air mulai surut menjelang tengah hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN