Enam premis GISBH di Seremban digempur, disita - Utusan Malaysia

Enam premis GISBH di Seremban digempur, disita

ANGGOTA penguat kuasa MBS menyita sebuah premis yang mempunyai kaitan dengan GISBH di Garden Homes, Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Enam buah premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di Garden Homes, Seremban 2 di sini hari ini digempur pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) selepas dikesan beroperasi tanpa lesen dan meletakkan barang perniagaan di kaki lima.

Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 24 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dan tiga notis sitaan kepada premis berkenaan dalam operasi bermula 12 tengah hari hingga 3.30 petang tadi.

“Daripada enam premis tersebut, empat premis beroperasi tanpa lesen termasuk kedai runcit dan restoran, satu premis mempunyai lesen perniagaan yang sah dan satu premis beroperasi dengan lesen tamat tempoh.

“Kesalahan yang dikesan dilakukan premis termasuk membuat halangan di tempat awam dengan meletakkan barang perniagaan di kaki lima awam, mengubah suai premis tanpa kebenaran dan pemasangan ‘awning’ tanpa permit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika operasi dijalankan kesemua enam premis tidak menjalankan perniagaan.

Menurut Mas Midyawan, mengikut rekod sebelum ini, premis yang tidak berlesen telah membuat permohonan lesen perniagaan, namun permohonan tersebut ditolak kerana tidak memenuhi syarat seperti kesalahan ubah suai bangunan. 

“Premis-premis ini juga telah dikenakan kompaun sebelum ini atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran,” katanya.

Tinjauan mendapati tiga premis milik GISBH yang dikeluarkan notis sitaan didapati meletakkan peralatan perniagaan termasuk kerusi dan meja makan di atas kaki lima yang boleh mengganggu laluan awam.

“Barang-barang di tiga premis ini akan disita dan kita akan pastikan mereka mematuhi syarat terlebih dahulu sebelum dikembalikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan bukan hanya pada premis milik GISBH sebaliknya meliputi semua peniaga dan berharap mereka mematuhi peraturan ditetapkan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN