YAN: Sebanyak empat buah rumah dan satu bangsal meletak kenderaan rosak dalam kejadian ribut yang melanda Kampung Sungai Kering, di sini awal pagi tadi.
Kejadian pada pukul 6.10 pagi itu menyebabkan sebahagian besar bumbung rumah penduduk diterbangkan angin dan rumah mereka dimasuki air selain kejadian pokok tumbang yang menghempap bumbung salah sebuah rumah mangsa.
Menurut Muhammad Izzudin Hilmi, 25, ketika kejadian dia bersama isterinya, Khairunnisa Mohamad Ibrahim, 25, sedang bersiap untuk solat Subuh.
“Hujan lebat sejak tengah malam tadi yang kemudiannya disertai angin kencang pada awal pagi tadi menyebabkan kami tidak dapat tidur nyenyak kerana bimbang keselamatan.
“Deruan angin kencang semakin kuat kedengaran ketika kami berdua membuat persiapan untuk solat Subuh sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat menghempap bumbung bahagian dapur rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Muhammad Izzudin yang bekerja senagai pesawah, pokok asam di bahagian belakang rumahnya telah tumbang dan menghempap bumbung bahagian dapur rumahnya.
“Saya segera memanggil isteri keluar kerana bimbang bumbung dapur runtuh sebelum membuat panggilan kecemasan kepada Penghulu Mukim Sungai Daun dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Yan.
Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Chot berkata, rumahnya rosak di bahagian bumbung dapur apabila zink diterbangkan angin kencang dalam kejadian itu.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya bergegas ke lokasi untuk membantu menebang pokok yang tumbang selain membersihkan kesan kejadian itu.
“Pemantauan kita mendapati hanya empat buah rumah penduduk dan sebuah bangsal menempatkan kenderaan sahaja terlibat dalam kejadian ribut itu serta tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada penghuninya,” katanya.