Empat Geng Bala didakwa merompak, pecah rumah - Utusan Malaysia

Empat Geng Bala didakwa merompak, pecah rumah

TIGA ahli Geng Bala dihadapkan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan pecah rumah dan merompak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Empat ahli Geng Bala dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan pecah rumah, sejak Ogos tahun lalu hingga bulan lalu.

Tertuduh, G. Balakrishnan, 33,  S. Prem Kumar, 38, Muhammad Ridzwan Dinesh, 38 ,dan P. Ukenthiran, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret dan Hakim berbeza.

Bagi pertuduhan pertama, keempat-empat suspek  dituduh melakukan perbuatan pecah rumah bagi maksud mencuri pada pukul 4 pagi di sebuah rumah di Jalan Bistari 94, Taman Mutiara Rini, Skudai pada 7 Ogos lalu.

Pendakwaan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 dikenakan kepada setiap tertuduh, namun mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh serta menetapkan 29 Oktober depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Di mahkamah berasingan, Balakrishnan, Muhammad Ridzwan dan Ukenthiran secara bersama didakwa melakukan jenayah pecah rumah pada pukul 2 pagi di sebuah kediaman di Jalan Indah 12/8, Taman Bukit Indah, 28 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan di hadapan Majistret A. Sharmini dan kes turut dikendalikan Adriana.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh, namun mahkamah turut menetapkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 serta menetapkan 14 Oktober depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh didenda dan jika kesalahan itu ialah mencuri, maka tempoh penjara boleh dilanjutkan hingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan itu dilakukan kali kedua atau kemudian boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Balakrishnan dan Prem Kumar turut berdepan pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Kedua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah pisau terhadap harta, iaitu sebuah telefon bimbit jenama Samsung dan dua buku bank berlainan milik seorang wanita  kira-kira pukul 7.30 pagi di Jalan Sasa, Taman Gaya di sini, 6 Ogos tahun lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad yang mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000, namun mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM9,000 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu lapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mereks didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN