Dua sahabat 'dijemput' ajal semasa dalam perjalanan pulang ke rumah

Dua sahabat ‘dijemput’ ajal semasa dalam perjalanan pulang ke rumah

KEADAAN motosikal yang dinaiki mangsa selepas terlibat dengan kemalangan di Kilometer 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Masjid Pahi, Kuala Krai, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Hasrat dua sahabat untuk pulang ke rumah selepas keluar bekerja tidak kesampaian apabila motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Masjid Pahi di sini hari ini.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang merupakan wanita berusia 48 dan 49 tahun itu maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 4 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semasa kejadian kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha itu dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pahi menghala ke Kampung Baru Pahi.

“Sementara kereta jenis Proton Iriz dari arah Kuala Lumpur menghala ke Machang. Setiba di simpang tiga (lokasi kejadian), motosikal yang dinaiki mangsa telah membelok ke simpang kanan untuk pulang ke rumah.

“Kereta Proton Iriz yang datang arah bertentangan tidak sempat membrek lalu telah melanggar motosikal yang dinaiki kedua-dua wanita berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Mazlan memberitahu, pelanggaran itu menyebabkan motosikal tersebut bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis Perodua MyVi yang datang arah bertentangan.

Katanya, semasa kejadian Perodua MyVi itu dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk dibedah siasat.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Mazlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil Balai Polis Trafik Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurin Farisha Mohd Amdan di talian 011-29286619 bagi membantu siasatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN