BATU PAHAT: Dua penunggang motosikal maut, manakala tiga lagi parah terlibat dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan di Kilometer 88.2, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pekan Yong Peng, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pada pukul 7.30 malam itu melibatkan lima motosikal dan sebuah kereta yang datang dari arah sama, iaitu Ayer Hitam ke Yong Peng.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila dua buah motosikal ditunggang Asyraf Hussin, 22, dan Muhammad Shahrin Asmadi secara tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta.
“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua penunggang terjatuh ke atas jalan sebelum dilanggar oleh tiga buah motosikal yang berada di belakang.
“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang datang sejurus selepas kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Shahrulanuar, tiga lagi penunggang mengalami kecederaan parah, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk bedah siasat dan rawatan
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (API) 1987. – UTUSAN