Dua penguat kuasa termasuk dalang sindiket 'counter setting' direman - Utusan Malaysia

Dua penguat kuasa termasuk dalang sindiket ‘counter setting’ direman

DUA pegawai penguat kuasa KLIA dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi permohonan reman terhadap mereka bagi membantu siasatan berhubung kes sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi counter setting.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang pegawai penguat kuasa termasuk suspek utama yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi counter setting atau ‘laluan kaunter khas’ direman di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.

Majistret, Fairuz Syuhada Amran membenarkan permohonan reman dibuat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan tersebut dengan suspek utama direman selama lima hari sehingga 23 September ini manakala suspek kedua direman selama tujuh hari sehingga 25 September ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2.

“Kedua-dua suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada pukul 3 pagi dan jam 5.40 petang semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan.

“Mereka dipercayai menerima wang rasuah dari ejen-ejen sindiket selain bertindak mengatur urusan laluan kaunter khas bagi melepaskan warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya di pintu masuk udara negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Tuan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN