PASIR MAS: Hasrat dua lelaki tempatan meraih pendapatan hasil aktiviti penyeludupan tidak kesampaian selepas dicekup anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) semasa sedang memunggah pelbagai barangan runcit dari Thailand bernilai lebih RM100,000 di tebing Sungai Golok di sini semalam.
Rampasan barangan itu termasuk pinggan seramik jenama terkenal dilakukan pada pukul 6 petang semasa melakukan rondaan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan itu masing-masing berusia 23 dan 25 tahun.
Menurutnya, kesemua nilai rampasan itu termasuk sebuah lori jenis Isuzu yang boleh membawa muatan sehingga tiga tan itu dianggarkan berjumlah lebih RM178,400.
“Siasatan mendapati, mereka sedang memunggah sebanyak 31 kotak serbuk kopi, tujuh kotak asam jawa dan dua kotak rumpai laut.
“Selain itu, mereka didapati turut menyeludup 10 kotak kacang gajus dengan berat 200 kilogram dan 39 kotak set pinggan seramik jenama Royal Porcelain,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kesemua barangan runcit tersebut diseludup ke negara ini merentasi Sungai Golok dari sebelah Thailand.
Katanya, susulan itu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Stol di sini dan kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN