Dengar bunyi letupan, tebing rumah runtuh - Utusan Malaysia

Dengar bunyi letupan, tebing rumah runtuh

ROHANA menunjukkan runtuhan yang berlaku di bahagian tepi rumahnya akibat hujan lebat berterusan selama dua jam di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebuah keluarga di Taman Sri Saujana, di sini bimbang apabila bahagian tepi kediaman mereka runtuh akibat hujan lebat berterusan kira-kira dua jam, petang tadi.

Rohana Sulaiman, 44, berkata tanah runtuh melibatkan tebing rumah dan bahagian saliran air itu menyebabkan sebahagian tembok rumahnya tergantung selepas tanah terhakis.

Katanya, sebelum ini kawasan itu memang berlaku hakisan tanah, namun tidak terlalu besar dan telah ditutup kanvas oleh pihak berkuasa.

“Hari ini memang sangat terkejut, hujan sangat lebat kami dengar seolah-olah bunyi letupan sebelum tembok saliran itu runtuh. Apabila tembok runtuh, hakisan tanah mula berlaku menyebabkan tembok rumah kami seperti tergantung kerana sudah tiada tanah di bawahnya.

“Memang takut tentang keselamatan diri dan keluarga, tambahan pula sekarang memang musim hujan. Apa yang membimbangkan kami jika bahagian lain pula turut runtuh. Setiap kali hujan memang tidak tidur lena, apatah lagi bila jadi seperti ini bahkan sekarang keadaan semakin teruk,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya pihak wakil rakyat telah datang ke kediamannya untuk meninjau keadaan yang berlaku dan membawa perkara itu kepada pihak berkenaan yang telah memasang tali keselamatan di kawasan yang terjejas. 

Dia berharap tindakan pantas dapat dilakukan pihak berkuasa supaya runtuhan berlaku tidak menjadi bertambah teruk.

Terdahulu, video kejadian tembok runtuh itu tular  susulan hujan lebat sejak pukul 1.30 petang yang urut menyebabkan limpahan air ke kawasan rekreasi tasik taman tersebut serta jalan utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN