DAP bantu Teresa beri khidmat guaman - Utusan Malaysia

DAP bantu Teresa beri khidmat guaman

TERESA KOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan dibantu oleh Biro Guaman DAP dalam memberi nasihat undang-undang sepanjang proses memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataannya berkaitan cadangan mewajibkan sijil halal.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pucuk pimpinan yakin Teresa tidak melanggar undang-undang.

Kata beliau, bekas Menteri Industri Utama itu hanya menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen.

“Saya mengambil maklum kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan.

“Biro Guaman DAP akan menemani dan memberi nasihat undang-undang kepada Teresa dalam proses tersebut dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak lima kertas siasatan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Teresa berhubung kenyataanya mengenai isu pensijilan halal yang dikatakan membebankan peniaga di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan selain Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, siasatan akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melibatkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

Kelmarin, Teresa berkata, cadangan pelaksanaan pensijilan halal ke atas restoran makanan seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Teresa berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Teresa mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)  mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa itu dikecam pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN