PETALING JAYA: Dalang utama yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi ‘Counter setting’ direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan (KLIA2).
“Sebelum ini, suspek ditahan oleh SPRM Negeri Sembilan pada Rabu lalu dan direman pada Khamis sehingga 23 September ini.
“Semalam suspek dibawa ke Pejabat SPRM Selangor bagi membantu siasatan kes yang turut disiasat oleh SPRM Selangor,” katanya.
Majistret Mohd. Sabri Ismail membenarkan suspek direman sehingga 28 September ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek berkenaan.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.- UTUSAN