KOTA BHARU: Pemuda Pas Kelantan mahu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok didakwa mengikut Akta Hasutan selepas kenyataan yang dibuat berkait isu sijil halal menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamad berkata, tindakan itu dianggap sudah melanggar ‘garisan merah’ kerana pensijilan halal bukan perkara baharu di Malaysia malah telah diiktiraf di peringkat dunia.
Menurutnya, sikap yang ditunjukkan Teresa itu boleh mengundang perkara-perkara tidak baik khususnya dalam kalangan umat Islam.
“Kami (Pemuda Pas Kelantan) berharap Majlis Raja-Raja dapat campur tangan dan mengambil tindakan serius terhadap Teresa. Hal ini kerana bukan pertama beliau mempersoalkan perkara-perkara yang menyentuh soal Islam.
“Pada masa DAP juga, juga telah banyak kali membuat kenyataan yang menyentuh isu 3R (Agama, Bangsa dan Raja),” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis ke atas Teresa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Mohamad Kamal memberitahu, pihaknya menuntut pemimpin Islam di negara ini bertindak tegas terhadap isu itu kerana ia melibatkan kepentingan agama terus diperosalkan.
“Umat Islam di Malaysia tidak pernah sesekali mengganggu-gugat hak agama lain.
“Kita jangka akan banyak lagi perkara berkaitan Islam akan dipersoalkan untuk menimbulkan situasi tidak baik di Malaysia ini dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan,” ujarnya.-UTUSAN