KUANTAN: Pemilik dan pengusaha penginapan seperti hotel dan inap desa tidak boleh menjadikan tempoh daftar masuk dan keluar dari penginapan sebagai satu polisi.
Pengarah Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, ia tidak harus dijadikan isu meskipun pemilik dan pengusaha mempunyai alasan mereka yang tertentu berhubung perkara tersebut.
Katanya, beliau berpandangan sedemikian berikutan di negeri ini, tidak pernah timbul isu sedemikian dalam kalangan pemilik dan pengusaha penginapan di negeri ini.
“Bukan semua hotel mengadakan polisi sebegitu. Kalau di Pahang kita masih belum lagi dengar isu sebegini.
“Mungkin hanya di negeri lain tapi di Pahang masih lagi terkawal sebab kita sentiasa berhubung rapat dengan persatuan terlibat dan mereka juga memaklumkan isu ini bukan di Pahang,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Festival Moh Ngopi Pahang 2.0 2024 di Old Garage Cafe, di sini.
Minggu ini, tular tindakan sesetengah hotel dan inap desa yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula pukul 4 petang dan keluar pada 11 pagi.
Perkara itu mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya merasakan ia tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.
Kamaruddin berkata, tindakan sedemikian mungkin hanya dilakukan oleh segelintir pengusaha berkemungkinan kerana menerima banyak tempahan selain mempunyai kakitangan yang tidak cukup.
“Kalau sekiranya musim ramai orang, menerima banyak tempahan dan kalau sekiranya waktu daftar keluar lewat, maka masa daftar masuk untuk pelanggan lain jadi lambat kerana mereka ada proses untuk cuci bilik dan kemas semua.
“Ia juga bergantung kepada jumlah kakitangan yang mereka ada. Mereka juga ada alasan tertentu,” katanya. – UTUSAN