Covid-19: Wanita bebas tuduhan timbulkan kegentaran awam

Covid-19: Wanita bebas tuduhan timbulkan kegentaran awam

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan seorang wanita daripada pertuduhan menimbulkan kegentaran awam dengan mendakwa tiga murid di Perak dan seorang pelajar di Sabah meninggal dunia akibat suntikan vaksin Covid-19, tiga tahun lalu.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin memutuskan demikian terhadap Liyana Razali tanpa memanggilnya membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

“Mahkamah berpuas hati butiran pernyataan tertuduh berkenaan kematian pelajar di Ipoh dan di Lahad Datu selepas divaksin adalah tidak benar,’’ ujar beliau dalam penghakiman bertulis bertarikh 1 September lalu yang diperoleh pihak media dari laman web mahkamah, semalam.

Irza Zulaikha berpendirian, tidak timbul keraguan bahawa tertuduh merupakan individu yang membuat pernyataan dalam video itu kerana dia dicamkan oleh saksi pendakwaan ketika memberi keterangan di mahkamah.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh berniat menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam sehingga boleh menyebabkan masyarakat terdorong melakukan kesalahan berkaitan ketenteraman awam.

Ujarnya, ini kerana tidak terdapat sebarang laporan polis atau aduan dibuat oleh orang awam mahupun saksi yang dikemukakan yang menunjukkan berlaku kegentaran awam selepas mendengar kenyataan tertuduh manakala saksi awam yang dikemukakan hanyalah bapa pelajar yang meninggal dunia.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan pada 13 Jun lalu di Mahkamah Tinggi untuk merayu keseluruhan perintah Mahkamah Majistret.

Liyana didakwa bagi pertuduhan pindaan kerana membuat kenyataan di `Lampiran A’ yang mungkin menyebabkan kegentaran awam kepada masyarakat yang mendorong mereka melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 9.17 pagi, 28 September 2021 di Kementerian Pengajian Tinggi di sini dan dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kenyataan pada ‘Lampiran A’ itu antara lain mendakwa tiga pelajar di Ipoh, Perak dan seorang lagi di Lahad Datu, Sabah yang meninggal dunia selepas mengambil suntikan vaksin Co­vid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN