Cemar air: Hukuman lebih berat, termasuk penjara - Utusan Malaysia

Cemar air: Hukuman lebih berat, termasuk penjara

FADILLAH Yusof (tiga dari kiri) merasmikan papan tanda alamat Sungai Tebrau di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang akan dibentangkan di Parlimen pada November ini memberi tumpuan terhadap hukuman lebih berat termasuk pemenjaraan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pindaan itu juga bagi memastikan tidak ada kelompangan untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan pencemaran.

Katanya, salah satu usaha yang telah dilakukan ialah dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak yang melibatkan kerajaan Persekutuan dan negeri, agensi dan pemegang taruh.

“Daripada mesyuarat tersebut banyak perkara yang diusulkan melihat sudut perundangan, iaitu pindaan terhadap undang-undang yang telah diluluskan Kabinet. Insya-Allah akan dibawa ke Parlimen hujung tahun ini sesi bulan November.

“Kita hendak perluaskan definisi sungai dan pencemaran supaya ada klarifikasi, untuk kita tutupkan kelompongan dari segi perundangan supaya lebih jelas untuk diambil tindakan nanti. Dan kita boleh sabitkan mereka yang menyebabkan pencemaran (sungai).

“Hukuman juga ditingkatkan, kalau dulu mungkin RM1 juta hingga maksimum boleh naik ke RM10 juta, malah boleh dipenjarakan, itu pindaan kita akan buat,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, selain aspek pindaan akta, perkara yang perlu diberi keutamaan dalam penjagaan sungai ialah aspek pencegahan bagi mengelakkan pencemaran sungai berlaku.

“Pertama saya melihat pencegahan lebih penting. Memberi kesedaran tentang kepentingan sungai  melibatkan NGO,  komuniti setempat untuk memelihara sungai kita.

“Persekutuan dan negeri kena sama-sama ambil tindakan termasuk terhadap kilang tepi sungai kalau boleh dipindahkan, kalau tidak boleh dipindahkan, kita kena pastikan teknologi supaya bahan terkawal dibuang ke tempat sepatutnya dan elakkan dari dibuang dan dilepas terus ke sungai,” katanya.

Pada awal bulan ini, beberapa siri pencemaran bau yang dipercayai akibat sisa kimia dibuang ke dalam sungai berlaku di Johor Bahru melibatkan beberapa kawasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN