KLUANG: Dakwaan kononnya Jelajah Orang Muda (JOM) sebagai program kempen bagi calon Barisan Nasional (BN) adalah tidak tepat kerana ia terbuka kepada semua masyarakat di semua daerah, termasuk Kluang.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar turut mengunjungi tersebut.
“Saya difahamkan calon PN sendiri pun hadir bersama-sama dalam program tersebut. Jadi, ini bukan (anjuran) politik tetapi ia program rakyat tanpa mengira kefahaman politik sama ada PN atau BN boleh pergi ke program tersebut,” katanya mengulas laporan polis dibuat oleh Pemuda PN Johor tentang perkara itu semalam.
Onn Hafiz ditemui selepas menghadiri Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Taman Kluang Perdana, di sini hari ini.
Semalam Pemuda PN Kluang membuat laporan polis mendakwa BN menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menerusi penganjuran JOM.
Mereka mendakwa karnival anjuran kerajaan negeri itu ‘memperkudakan jentera kerajaan’ sebagai kempen dan ‘menyogok pengundi’ dengan menawarkan hadiah bernilai ribuan ringgit termasuk motosikal dan peralatan elektrik.
“Rasanya mereka (PN) dah tak ada modal politik,” kata Onn Hafiz.
PRK DUN Mahkota yang ditetapkan pada 28 September ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Syed Hussien dengan calon PN, Mohamad Haizan yang popular dengan panggilan Coach Haizan. – UTUSAN