Cadangan sijil halal tak wajar didedah, belum dibincangkan - Hassan - Utusan Malaysia

Cadangan sijil halal tak wajar didedah, belum dibincangkan – Hassan

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cadangan berkenaan pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam tidak sewajarnya didedahkan kepada umum kerana belum dibincangkan dan dimuktamadkan dalam Kabinet.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar itu menyebabkan tercetus kontroversi berkaitan isu logo halal yang menjadi polemik ketika ini.

Beliau berkata, isu itu dikatakan telah menyentuh perkara berkenaan raja, agama dan kaum (3R) selepas komen diberikan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok baru-baru ini.

“Kenyataan Dr. Mohd. Naim adalah satu cadangan dasar awam berkaitan satu peraturan mandatori daripada segi peraturan yang sedang dikaji oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Adakah cadangan berkenaan pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam itu telah dibincangkan dalam Jemaah Menteri?

“Adakah Menteri Hal Ehwal Agama boleh umumkan kepada khalayak awam satu dasar kerajaan yang melibatkan undang-undang dan peraturan yang masih belum diluluskan oleh Kabinet? Berbincang pun belum diadakan dalam Kabinet berkenaan cadangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Teresa sebelum ini dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kenyataan dikeluarkan Teresa dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian kerajaan.

Mengulas lanjut, Hassan memberitahu, Teresa hanya memberikan satu reaksi terhadap dasar kerajaan yang masih baru dibincang pihak Jakim sedangkan kajian menyeluruh pun belum dibuat apatah lagi dibawa ke Kabinet.

Katanya, Teresa didakwa satu kesalahan di bawah 3R kerana dianggap menimbulkan keresahan dan kegentaran serta kemarahan awam dalam kalangan orang Islam.

“Maka, kita ingin bertanya bagaimana dengan kenyataan Dr. Mohd. Naim tentang satu cadangan yang belum lagi diputuskan Kabinet yang jelas telah menimbulkan keresahan, kegentaran dan kemarahan sesetengah orang bukan Islam?

“Adakah kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama itu tidak termasuk dalam kategori pelanggaran 3R? Adakah hanya apabila orang Islam berasa resah, gentar dan marah maka satu pelanggaran 3R berlaku?,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN