KOTA BHARU: Seorang buruh etnik Rohingya dipenjara 24 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah bagi dua pertuduhan merogol seorang remaja tingkatan empat hingga hamil pada November dan April lalu.
Tertuduh, Mohd. Rashid Sidiq, 30, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa menggunakan bahasa Myanmar di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Lelaki itu didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika kejadian berusia 16 tahun 2 bulan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Gunong, Bachok dekat sini kira-kira pukul 8 malam pada November 2023 dan pukul 8 malam pada April lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memohon hukuman setimpal kerana kes tersebut sangat serius sehingga menyebabkan mangsa mengandung.
Tertuduh menerusi jurubahasanya iaitu Than Tin berkata, dia dan mangsa mengenali antara satu sama lain dan kejadian berlaku adalah suka sama suka.
Mahkamah kemudian mengenakan hukuman penjara 12 tahun bermula semalam dan dua sebatan untuk setiap pertuduhan.
Mangsa sebelum ini mengadu sakit perut kepada ibunya semasa berada di rumah mereka di Gunong, Bachok sebelum dibawa ke klinik di Peringat, Kota Bharu untuk dapatkan rawatan sebelum mendapati mangsa sudah hamil 21 minggu.