Bungkusan dibuang tepi sungai punca pencemaran? - Utusan Malaysia

Bungkusan dibuang tepi sungai punca pencemaran?

JAS Johor menemukan beberapa bungkusan yang dibuang di tepi anak Sungai Pandan yang mengeluarkan bau yang sama seperti pencemaran bau kimia di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Siasatan dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini berkaitan kes pencemaran bau kimia mengesan beberapa objek yang tidak dikenal pasti dibuang di tepi sungai dalam bentuk bungkusan di anak Sungai Pandan, berhampiran Taman Daya, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihak JAS telah mengambil sampel daripada bungkusan yang ditemukan pukul 10 pagi itu dan menghantarnya ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. 

“Bau yang sama seperti yang terjadi di Kampung Melayu Pandan dua hari lepas masih dapat dihidu di kawasan tersebut. 

“JAS telah memasang garisan keselamatan di lokasi dan sedang mengukur kualiti udara di situ,” katanya selepas melawat kawasan penemuan bungkusan tersebut yang disyaki menjadi punca pencemaran bau kimia itu.

Kelmarin, media melaporkan beberapa penduduk di sekitar Taman Daya, Taman Istimewa dan Taman Mount Austin mengadu pening dan loya setelah terhidu bau kimia di kawasan rumah masing-masing.

Dalam pada itu, Tian Soon memberitahu, JAS memandang serius insiden pencemaran bau kimia itu dan akan terus menjalankan operasi pemeriksaan di sekitar Sungai Pandan dan anak-anak sungainya untuk mencari punca pencemaran.

“Sekiranya sesiapa melihat individu yang membuang sisa industri atau bahan kimia secara haram, sila laporkan segera kepada JAS. Saya juga mengecam tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang membuang bahan atau sisa tanpa pengendalian profesional,” tegasnya.

Syarikat atau individu yang dengan sengaja membuang bahan kimia boleh didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2024 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak lebih RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya