Budak 10 tahun pandu kereta, terbabas langgar van - Utusan Malaysia

Budak 10 tahun pandu kereta, terbabas langgar van

SEBUAH kereta Toyota Corolla dipandu kanak-kanak berusia 10 tahun terbabas dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, Seremban semalam.-GAMBAR/IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikesan memandu sebuah kereta milik ibu bapanya sehingga terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, kanak-kanak itu memandu kereta dengan ditemani jirannya yang juga seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun.

Mohamad Hatta berkata, difahamkan kanak-kanak terbabit memandu kenderaan itu untuk bersiar-siar sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah van dan sebuah kereta Perodua Kancil. 

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Corolla dipandu kanak-kanak berusia 10 tahun itu dari arah Apartment Arowana Impian menuju Taman Arowana Impian telah terbabas di tempat kejadian.

“Kereta Toyota Corolla terbabas semasa melalui selekoh dan berlanggar dengan sebuah van jenis Toyota yang diparkir di bahu kiri jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad Hatta berkata, kemudian van tersebut telah menggelongsor ke hadapan dan terlanggar kereta Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya.

“Bagaimanapun, akibat kemalangan itu pemandu dan penumpang kanak-kanak tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Jelas beliau, tindakan tegas akan diambil kepada pemandu yang melakukan kesalahan dan jika pesalah adalah kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga juga akan diambil tindakan.

“Pihak polis menasihatkan semua pihak untuk mematuhi peraturan jalan raya dan ibu bapa atau penjaga supaya memerhati dan memantau tindakan anak-anak di bawah jagaan mereka bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada berlaku.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 111 akta sama Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas Jalan 1959 dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Tambah beliau, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Sudesh Kumar di talian 016-4830853 atau boleh terus ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN